web stats

Thursday, 9 April 2015

TIPS MENINGKATKAN KREATIVITI


TIPS MENINGKATKAN KREATIVITAS

Terdapat beberapa tips yang boleh dikongsi bagi cara meningkatkan kreativiti. Antaranya ialah:

i) Tingkatkan penggunaan otak kanan anda melalui stimulus visualisasi. Tujuannya adalah untuk mempelajari seni musik serta menjalankan aktiviti olahraga.

ii) Kenali dahulu tahap kreativitas anda sebelum memulakan untuk melakukan sesuatu.




PERWATAKAN ORANG BERKREATIF

Terdapat beberapa cara untuk mengenali perwatakan orang yang berkreatif. Antaranya ialah:

i) Mereka berminat atau berhasrat untuk mengubah hal-hal di sekeliling untuk menjadikannya lebih baik daripada asal.

ii) Mereka lebih peka atau bersifat kepekaan, iaitu bersikap terbuka terhadap sesuatu.

iii) Mereka cenderung berminat untuk menggali dengan lebih mendalam dari tampak permukaan akan sesuatu aspek atau benda.

iv) Mereka mempunyai perasaan ingin tahu dengan lebih mendalam akan sesuatu perkara.






KEMAHIRAN BERFIKIR SECARA KREATIF


Kemahiran Berfikir Secara Kreatif


Definisi Kreatif

Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2012), kreatif bermaksud mempunyai kebolehan mencipta, memghasilkan, dan mengembangkan sesuatu idea baharu dan asli. Kreatif juga merupakan keupayaan seseorang untuk mencipta sesuatu yang baharu dan pada masa yang sama mampu mengolah idea. 




Definisi Kreatif Menurut Tokoh

i) Bloom (1956), mendefinisikan kemahiran kreatif sebagai sintesisi yang bermaksud kebolehan seseorang menganalisis maklumat dan membentuk semula maklumat tersebut supaya menjadi idea yang unik.

ii) Torrance (1963), berpendapat bahawa pemikiran kreatif terbentuk daripada empat kemahiran, iaitu kelancaran, fleksibel, penghuraian dan keaslian. Kelancaran merujuk kepada kebolehan seseorang menjana idea yang banyak. Fleksibel pula adalah kebolehan menghasilkan idea yang berbeza. Manakala penghuraian pula bermaksud kebolehan memperluaskan dan mengembangkan idea secara mendalam dan keaslian pula merujuk kepada kebolehan berfikir secara luar biasa dan menggunakan sesuatu perkara dengan sendiri.

iii) Hayer (1981 dalam Beyer 1988) mengaitkan pemikiran kreatif dengan penyelesaian masalah, di mana operasi kognitif menjadi dasar dalam pemikiran kreatif. Mengenal pasti masalah, menjana idea dan perancangan pula merupakan komponen dalam menyelesaikan masalah.

iv) John Arul (1997) turut berpendapat pemikiran kreatif sebagai aktiviti mental yang menumpulan kepada penghasilan idea dan kaedah yang baharu.

v) Clarke dan Biddle (1993) berpendapat bahawa berfikir secara kreatif adalah proses yang menggunakan teori untuk menganalisis situasi, kejadian masa depan dan menyelesaikan masalah yang dilalui.

vi) Perkins (1985) berpendapat bahawa pemikiran kreatif adalah pemikiran yang dicorakkan untuk menghasilkan keputusan atau hasil yang kreatif.

Secara kesimpulannya, kemahiran berfikir secara kreatif membawa maksud kecekapan atau keupayaan menggunakan minda untuk menerokai pelbagai kemungkinan, menghasilkan sesuatu yang baharu, asli, luar biasa dan bernilai sama ada bersifat maujud, abstrak, atau gagasan. 

Kemahiran berfikir secara kreatif adalah keupayaan seseorang untuk menghasilkan dan mencetuskan idea yang baharu dan mempunyai originaliti yang tersendiri. Hasil idea yang kreatif juga merupakan hasil idea yang diilhamkan sendiri daripada individu atau hasil daripada gabungan idea yang sedia ada.


KEPENTINGAN KEMAHIRAN BERFIKIR SECARA KREATIF

Kemahiran berfikir secara kreatif sangat pentimg dalam pengajaran dan pembelajaran terutamanya kerana dapat meningkatkan kebolehan pelajar untuk mencerna dan menghasilan idea asli dan berseifat generatif. Idea baharu terhasil melalui ilham atau gabungan idea-idea yang ada, Keupayaan meningkatkan pemikiran ini sudah tentu dapat membantu pelajar dalam memahami dan menghuraikan sesuatu konsep yang sedang mereka pelajari semasa proses pembelajaran.





JENIS-JENIS KEMAHIRAN BERFIKIR


JENIS-JENIS KEMAHIRAN BERFIKIR

Apakah komponen utama kemahiran berfikir (KB)?




Komponen utama dalam kemahiran berfikir dapat dibahagikan kepada dua, iaitu:

i) Kemahiran Berfikir secara Kritis
ii) Kemahiran Berfikir secara Kreatif






KEMAHIRAN BERFIKIR SECARA KRITIS


KEMAHIRAN BERFIKIR SECARA KRITIS


Kemahiran berfikir secara kritis dapat didefinisikan sebagai kecekapan dan keupayaan menggunakan minda untuk menilai kemunasabahan atau kewajaran sesuatu idea, meneliti kebernasan, kebaikan dan kelemahan sesuatu hujah dan membuat pertimbangan yang wajar dengan menggunakan alasan yang bukti yang munasabah.




Terdapat beberapa contoh kemahiran berfikir secara kritis, iaitu:

a) Banding beza
Mencari persamaan dan perbezaan berdasarkan kriteria seperti ciri, sifat, kualiti dan unsur sesuatu objek atau peristiwa.

Kemahiran ini digunakan apabila:

i) terdapat dua atau lebih ciri atau kemungkinan
ii) membuat pilihan atau keputusan

Langkah Penggunaan:

1. Perhatikan dan berikan tumpuan kepada satu atau beberapa objek.
2. Kenal pasti satu ciri daripada objek tersebut.
3. Tentukan sama ada objek yang lain mempunyai ciri yang sama.
4. Nyatakan ciri itu sama atau berbeza.


b) Mencirikan
Mengenal pasti kriteria seperti ciri, sifat, kualiti dan unsur sesuatu konsep atau objek.

Kemahiran ini digunakan untuk:

i) Mendefinisikan konsep atau item
ii) Mengenali antara konsep atau item yang hampir serupa

Langkah Penggunaan:

1. Tumpukan perhatian kepada item atau konsep secara menyeluruh.
2. Kenal pasti ciri.


c) Mengumpulkan dan Mengelaskan
Mengasingkan dan mengumpulkan objek atau fenomena kepada kumpulan masing-masing berdasarkna kriteria tertentu seperti ciri atau sifat. Pengumpulan ini adalah berdasarkan ciri atau sifat sepunya.

Kemahiran ini digunakan apabila terdapat:

i) Banyak item atau maklumat
ii) Item atau maklumat yang tidak tersusun

Langkah Penggunaan:

1. Kenal pasti ciri umum sekumpulan item.
2. Berikan nama kepada kumpulan item.
3. Kenal pasti ciri lain.
4. Masukkan item berciri sama ada ke dalam kumpulan yang lebih kecil.
5. Ulangi langkah di atas sehingga semua item dapat dikumpulkan dalam suatu kumpulan.

Contoh:

Diberikan item-item yang berikut:

a) gelas
b) bata
c) kerusi
d) songkok
e) pukat
f) cawan
g) baju hujan
h) pen
i) pensil

Kita boleh gunakan carta organisasi untuk mengelaskan item-item tersebut dengan cara berikut:

1. Tuliskan nama kepada sekumpulan item di bahagian paling atas.
2. Bahagikan item-item tersebut kepada kumpulan yang lebih kecil.
3. Namakan kumpulan-kumpulan tersebut.
4. Bahagikan lagi item-item tersebut kepada kumpulan-kumpulan yang lebih kecil lagi.


d) Membuat Urutan
Menyusun objek atau maklumat mengikut tertib berdasarkan kualiti dan kuantiti atau sifatnya seperti saiz, masa, bentuk atau bilangan.

Kemahiran ini digunakan untuk menyusun item atau maklumat supaya:

i) Mudah difahami
ii) Item tertentu mudah berkesan

Langkah penggunaan:

1. Tentukan jenis susunan untuk digunakan sama ada mengikut saiz, nilai, abjad, kronologi, corak atau masa.
2. Ambil satu item sebagai asas.
3. Ambil item yang lain dan susunkan secara menaik atau menurun berdasarkan jenis susunan yang ditentukan.
4. Semak semula susunan.


e) Menyusun Mengikut Keutamaan
Menyusun objek atau maklumat mengikut tertib berdasarkan kepentingan atau kesegeraan.

Kemahiran ini digunakan untuk:

i) Menonjolkan perkara yang mustahak.
ii) Menentukan tindakan yang perlu dibuat dahulu.

Langkah Penggunaan:

1. Tentukan matlamat anda.
2. Ambil satu item sebagai asas.
3. Ambil item yang lain dan bandingkan dengan item asas sama ada lebih dekat atau lebih jauh kepada matlamat.
4. Jika lebih dekat kepada matlamat di atas item asas, jika tidak diletakkan di bawah.
5. Ulangi langkah di atas bagi item yang lain, satu demi satu.


f) Menganalisis
Mengolah maklumat dengan menghuraikannya kepada bahagian yang lebih kecil bagi memahami sesuatu konsep atau peristiwa serta mencari makna yang tersirat.

Kemahiran ini digunakan untuk mengenali bahagian-bahagian, memahami hubung kait antara bahagian dan mengenali prinsip yang terlibat. Menganalisis ialah kemahiran yang kompleks menggunakan beberapa ciri kemahiran berfikir.

Langkah penggunaan:

1. Tentukan pendapat atau kenyataan.
2. Cari andaian yang tersiriat, huraikannya kepada ciri yang lebih terperinci.
3. Renung semula pendapat atau andaian.
4. Buat pernyataan yang telah diperbaiki dengan sokongan fakta.


g) Mengesan Kecondongan
Mengesan pandangan atau pendapat yang berpihak kepada sesuatu atau menentang sesuatu. 

Kemahiran ini digunakan apabila:

i) Terdapat sesuatu pernyataan yang cuba mempengaruhi keputusan atau pendapat seseorang.
ii) Menimbangkan ketepatan sesuatu sumber maklumat atau pernyataan.
iii) Mengenal pasti kecondongan pandangan seseorang.

Langkah penggunaan:

1. Nyatakan matlamat.
2. Kenal pasti petunjuk kecondongan.
~ Kenyataan yang berbentuk emosi atau bermuslihat.
~ Pengitlakan yang keterlaluan.
~ Soalan retorik 
~ Persembahan atau penyampaian yang berat sebelah
~ Menyatakan pendapat sebagai fakta.
3. Analisis maklumat secara terperinci untuk mendapatkan petunjuk.
4. Padankan pernyataan yang berunsur kecondongan dalam petikan dengan jenis petunjuk.
5. Buat penilaian sejauh manakah kecondongan berlaku.


h) Menilai
Membuat pertimbangan tentang sesuatu perkara daripada segi kebaikan dan keburukan berdasarkan bukti atau dalil yang sah.

Kemahiran ini digunakan membuat keputusan bagi:

i) Memilih sesuatu
ii) Menerima atau menolak sesuatu idea.

Langkah Penggunaan:

1. Perhatikan idea atau pilihan.
2. Senaraikan ciri positif (kebaikan).
3. Senaraikan ciri negatif (kelemahan).
4. Beri wajaran kepada setiap ciri.
5. Bandingkan wajaran secara keseluruhan.

i) Membuat Kesimpulan
Membuat pernyataan tentang hasil sesuatu kajian yang berdasarkan kepada sesuatu hipotesis atau mengukuhkan sesuatu perkara berdasarkan penyiasatan.

Kemahiran ini digunakan untuk membuat keputusan, menerangkan sesuatu, meramal dan menyokong pernyataan.

Langkah Penggunaan:

1. Kumpulkan maklumat (misalnya daripada eksperimen atau kajian)
2. Susun semula maklumat dalam urutan yang logik.
3. Analisis maklumat dan buat gambaran mental untuk mendapatkan sesuatu corak perhubungan.
4. Buat pernyataan kesimpulan dengan sokongan bukti yang ada.

Contoh:

Ali sedang menjalankan satu eksperimen untuk mengkaji gerak balas tumbuhan terhadap cahaya. Dia telah menyediakan dua buah kotak besar yang masing-masing mempunyai satu lubang kecil di dindingnya. Dalam kedua-dua kotak ini, diletakkan anak-anak benih kacang. Kotak yang pertama diletakkan di luar bilik darjah. Kotak yang kedua diletakkan dalam almari. Pemerhatian dibuat selepas beberapa hari. 

Persoalan?

Apakah kesimpulan yang boleh dibuat berdasarkan pemerhatian tersebut?


Wednesday, 8 April 2015

MODEL KEMAHIRAN BERFIKIR



MODEL KEMAHIRAN BERFIKIR

Kemahiran berfikir boleh dibahagikan kepada kemahiran berfikir secara kritis dan kreatif. Kemahiran berfikir secara kritis ialah kebolehan untuk menilai kemunasabahan sesuatu idea dan bersifat evaluatif. Kemahiran berfikir secara kreatif ialah kebolehan untuk mencerna dan menghasilkan idea asli dan bersifat generatif. Idea baharu yang terhasil melalui ilham atau gabungan idea-idea yang ada.

Strategi berfikir pula merupakan proses berfikir yang lebih tinggi peringkatnya dan mengandungi beberapa langkah yang melibatkan beberapa kemahiran berkritis dan kreatif. Kesemua kemahiran yang digunakan dalam aktiviti pengajaran dan pembelajaran adalah pada akhirnya menuju ke arah menkonsepsi, membuat keputusan atau menyelesaikan masalah.

Kemahiran berfikir menaankul adalah sebagai pelincir dalam membantu kita membuat pertimbangan secara logik dan rasional kepada semua kemahiran dan strategi berfikir.

Perkaitan antara kemahiran berfikir kritis, kemahiran berfikir kreatif, kemahiran menaakul dan strategi berfikir adalah seperti yang berikut.



Rajah 2. Model Kemahiran Berfikir

Kemahiran berfikir dalam model ini telah disusun mengikut hierarki daripada kemahiran asas kepada kemahiran yang lebih kompleks. Dalam pengajaran dan pembelajaran, kemahiran berfikir perlu diperkenalkan mengikut urutan. Murid perlu mempelajari dan menguasai kemahiran berfikir yang asas sebelum mempelajari kemahiran berfikir yang lebih kompleks.

Sekiranya dalam pengajaran dan pembelajaran, kemahiran berfikir yang akan dipelajari adalah membuat urutan, murid seharusnya telah mempelajari dan menguasai kemahiran yang sebelumnya iaitu kemahiran mencirikan, membandingkan dan membeza serta mengumpul dan mengelas.

PROSES BERFIKIR




PROSES BERFIKIR

Pada kebiasaanya, apabila anda berhadapan dengan sesuatu perkara, misalnya suatu objek, anda asecara automatik akan mula menyoal diri sendiri? Soalan-soalan yang mungkin anda tanya ialah:

1. Apakah objek tersebut?
2. Apakah kegunaannya?
3. Bagaimanakah menggunakannya?
4. Adakah ia memberi manfaat?



Apabila anda menyoal diri sendiri dan mecari jawapannya, anda sedang dalam proses berfikir. Untuk mencari jawapannya, anda akan menggunakan aspek yang berikut:

a) Pengetahuan (apa yang anda tahu tentang objek itu)
b) Kemahiran (menyoal diri sendiri tentang objek itu)
c) Sikap atau nilai (keinginan untuk mengetahui tentang objek itu)

Oleh hal yang demikian, proses berfikir melibatkan interaksi antara pengetahuan, kemahiran kognitif dan sikap atau nilai.



Rajah 1. Proses Berfikir



Berfikir melibatkan pengendalian operasi mental tertentu dalam minda seseorang. Operasi mental tersebut dapat dibahagikan kepada dua jenis iaitu:

i) Operasi Kognitif
   Operasi kognitif merupakan kemahiran berfikir yang sering kita gunakan setiap hari, seperti mengelas, membanding, membuat urutan dan lain-lain.

ii) Operasi Meta Kognitif

    Operasi ini merupakan operasi yang mengarah dan mengawal kemahiran dalam proses kognitif, iaitu memandu dan membimbing segala aktiviti pemikiran manusia di antara komponen-komponen berfikir.




KEMAHIRAN BERFIKIR


DEFINISI KEMAHIRAN BERFIKIR



  Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, fikir bermaksud akal atau keupayaan untuk berfikir, manakala berfikir mengikut terjemahan Kamus Dewan pula bererti menggunakan akal untuk menyelesaikan sesuatu. Dengan ini, dapatlah dikatakan bahawa kemahiran berfikir ialah kemahiran yang menggunakan akal untuk menyelesaikan sesuatu masalah.




  Menurut John Dewey, berfikir ialah satu operasi yang menggunakan fakta-fakta yang sedia ada untuk mencadangkan fakta-fakta yang lain supaya fakta dapat dipercayai berdasarkan fakta yang sedia ada. Menurut Beyer pula, beliau mendefinisikan berfikir sebagai memanipulasi input deria dan persepsi yang diingat kembali secara mental untuk membentuk pemikiran, sebab, atau keputusan.


KONSEP BERFIKIR

  Konsep berfikir ini telah diutarakan oleh beberapa orang tokoh. Antaranya ialah:

i) Edward de Bono (1976)
   Kemahiran berfikir ini membolehkan manusia melihat pelbagai perspektif untuk menyelesaikan masalah dalam sesuatu situasi tertentu.

ii) Dewey (1910)
  Pemikiran yang dihasilkan adalah kerana terdapat situasi keraguan atau masalah tertimbul. Pemikiran merupakan aktiviti psikologikal dalam sesuatu proses yang dialami untuk digunakan dalam menyelesaikan masalah dalam situasi yang dihadapi.

iii) Pandangan Islam
   Menurut pandangan Islam, berfikir ialah fungsi akal yang memerhatikan tenaga supaya otak manusia dapat bekerja dan beroperasi. Tenaga ini diperolehi melalui tafakur.

Berdasarkan pandangan dan definisi yang dihuraikan itu, konsep pemikiran bolehlah dirumus sebagai:

     "Pemikiran ialah proses yang menggunakan minda untuk mencari makna dan penyelesaian terhadap sesuatu keraguan atau masalah yang timbul dengan menggunakan pelbagai cara iaitu membuat pertimbangan dan keputusan serta refleksi yang logikal dan munasabah terhadap proses yang dialami."


TUJUAN KEMAHIRAN BERFIKIR 


Antara tujuan kemahiran berfikir digunakan adalah untuk membolehkan seseorang individu atau pelajar:

i) Mendapat latihan berfikir secara kritis dan kreatif untuk membuat keputusan dan menyelesaikan masalah dengan bijak.

ii) Mengaplikasikan pengetahuan, pengalaman dan kemahiran berfikir secara lebih praktik sama ada di dalam atau di luar sekolah.

iii) menghasilkan idea atau ciptaan yang kreatif dan inovatif.

iv) Mengatasi kesilapan-kesilapan berfikir yang terburu-buru, bercelaru, kabur dan sempit.

v) Bersikap terbuka dalam menerima dan memberi pendapat, membina keyakinan diri untuk memberi hujah, membuat pertimbangan berdasarkan alasan dan bukti, serta berani dalam memberikan pandangan dan kritikan.

vi) meningkatkan aspek kognitif dan afektif dan seterusnya perkembangan intelek mereka.






PRINSIP KEMAHIRAN BERFIKIR

Terdapat beberapa prinsip yang perlu dilakukan dalam kemahiran berfikir ini. Antaranya ialah:

i) Sentiasa bersikap kostektif iaitu mempunyai sikap postif bagi semua jenis kemahiran berfikir dan elakkan dari bersikap negatif.

ii) Berfikir secara perlahan-lahan dan sentiasa berfikir secara mudah.

iii) Melupakan rasa ego, kita perlu mengikis perasaan ego kita jika inginkan setiap kemahiran berfikir yang digunakan itu dapat manfaatnya.

iv) Sentiasa menukar arah otak kita berfikir, iaitu apabila kita memerlukan berfikir secara logik, kreatif dan lateral, kita juga perlu menggunakan pelbagai kemahiran berfikir untuk menyelesaikan      masalah dan membuat keputusan.

v) Tentukan tujuan kita berfikir dan sering bertanyakan diri sendiri tujuan dan apakah hasil yang diharapkan.

vi) Kita perlukan memikirkan alternatif lain sebelum kita membuat keputusan yang lebih baik. Setiap idea perlulah dilihat secara global supaya perincian kita tidak lari atau melencong dari skop atau landasan yang sebenar. Setiap pemikiran haruslah diakhiri dengan tindakan yang seharusnya yang sebenarnya mendatangkan kesan yang baik pada orang lain.